WordPress 2.5 melonjak ke hadapan
19 Mac 2008
Semalam merupakan hari pengumuman keluaran WordPress versi 2.5 Release Candidate 1. Banyak perubahan yang memberansangkan dapat dilihat sejak keluaran “beta” sebelumnya. Keluaran ini merupakan percubaan sahaja, para pembangun sedang menguji kestabilan perisian ini sebelum disasarkan kepada pengguna umum. Tarikh keluaran sebenar masih kabur, akan tetapi dijangka beberapa hari sahaja lagi, atau paling lewat pun dalam bulan Mac ini juga.
Pengguna yang peka mungkin tertanya-tanya, bukankah versi sekarang ialah 2.3? Apakah yang telah berlaku kepada versi 2.4? Kisahnya, para pembangun WordPress bercadang untuk menyiapkan versi 2.4 pada 24 Januari 2008. Akan tetapi, kerja tersebut ‘terbengkalai’ kerana masing-masing sibuk menyambut Krismas dan Tahun Baru. Pembangunan versi 2.4 dibatalkan, sebaliknya digantikan dengan 2.5 yang dijadualkan pada 10 Mac 2008. Namun begitu, para pembangun tidak sempat menyiapkan semua tugas yang diamanahkan pada waktu yang ditetapkan. Tarikh keluaran 2.5 ditunda pula. Seminggu telah berlalu, namun 2.5 belum lagi menampakkan batang hidung, sehinggalah semalam apabila pasukan pembangun WordPress mengumumkan keluaran release candidate. Keluaran ini adalah previu semata-mata, supaya pengguna yang berminat boleh mengecapi sedikit daripada impian menjulang tinggi ini. Apa pun, ini semua adalah petanda bagi perubahan yang ketara dan pengalaman yang lebih menyeronokkan.
Kepada pembaca budiman yang masih belum mengenalinya, WordPress ialah sebuah sistem pengurusan blog yang popular. Sekiranya anda memiliki tapak web sendiri dan berhasrat untuk menulis blog, saya cadangkan supaya anda menggunakan WordPress. Perisian ini boleh didapati dengan percuma dan dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik. Terdapat beribu-ribu komponen tambahan yang disediakan secara berasingan yang boleh mengubah suai reka bentuk (dikenali sebagai tema atau theme) dan menyediakan kebolehan tambahan (dikenali sebagai pemalam atau plugin). Tambahan pula, sekiranya anda menghadapi masalah dan memerlukan pertolongan, terdapat komuniti pengguna yang aktif yang sedia menghulurkan bantuan.
Jadi, apakah ciri-ciri baru pada keluaran kali ini?
Kesegaran visual
Antara perubahan paling ketara yang dapat dilihat pada WordPress versi baru ialah bahagian pentadbiran (adminstration). Susunannya telah diatur semula secara menyeluruh, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Reka bentuk baru ini hasil renovasi daripada kerjasama pasukan WordPress, diketuai oleh Matt Mullenweg, dengan tiga orang pakar web, iaitu Jeffrey Zeldman, Jason Santa Maria dan Liz Danzico.
Selamat tinggal kenangan, selamat datang pengalaman. Saya tidak boleh memberikan apa-apa komen yang muktamad tentang rupa baru ini. Saya tak tahu sama ada reka bentuk baru ini ‘mengancam’ atau setaan boleh tahan sahaja, namun yang pasti ialah saya akan merindui reka bentuk lama itu! Walau bagaimanapun, pemerhatian menunjukkan bahawa ramai pihak memuji reka bentuk baru ini. Apa yang saya boleh kata ialah perubahan reka bentuk ini merupakan petanda bahawa pembagun WordPress rela melakukan perubahan besar tanpa mengenal erti risiko, demi meningkatkan tahap kepuasan pengguna.
Antara perubahan yang dimaksudkan ialah menu pentadbiran kini dibahagikan kepada dua kumpulan, di sebelah kiri untuk pengurusan dan di sebelah kanan untuk tetapan. Di muka depan pula, dinamakan “Dashboard”, susunan baru diatur supaya maklumat-maklumat yang lebih penting diletakkan di atas, manakala yang remeh dikemudiankan.
Reka bentuk yang baru ini menerima kejutan dan respons yang pelbagai daripada pengguna. Rata-rata, rasa tak puas hati yang diluahkan bersangkut paut dengan set warna baru yang digunakan. Oleh itu, untuk memuaskan hati semua pihak, pihak pembangun menyediakan dua pilihan set warna, satunya “Fresh” yang bercirikan warna biru muda dan kelabu, dan satu lagi “Classic” yang lebih mirip kepada reka bentuk WordPress lama, iaitu bercirikan warna biru gelap.
Walau bagaimanapun, menurut pihak pembangun, anda boleh mengubah suai reka bentuk bahagian pentadbiran dengan menggunakan pemalam. Sekarang pun telah wujud prototaip pemalam yang dinamakan Fluency yang mengubah suai keseluruhan ruang pentadbiran WordPress. Pemalam ini masih muda dan sedang diuji, namun begitu adalah dijangka bahawa akan muncul banyak lagi pemalam sebegini setelah versi 2.5 menjengah di pasaran.
Rajah 1
(Klik pada mana-mana gambar untuk melihat saiz besar)
Reka bentuk sebelum versi 2.5
Reka bentuk baru dengan set warna “Fresh”
Reka bentuk baru dengan set warna “Classic”, mirip reka bentuk lama.
Pemalam “Fluency” mengubah suai keseluruhan reka bentuk ruang pentadbiran.
Penyunting lebih mesra
WordPress 2.5 juga bakan didatangkan dengan penyunting teks yang lebih kaya dan mesra pengguna. Antara butang baru yang diperkenalkan ialah “fullscreen” yang meregang penyunting teks tersebut sehingga memenuhi ruang pelayar web. Pengguna boleh kembali ke paparan asal pada bila-bila masa sahaja dengan menekan butang itu sekali lagi. [Rajah 2]
Satu lagi tambahan ciri baru ialah kebolehan untuk memuat naik berbilang fail dengan serentak. Anda tidak perlu lagi melalui langkah-langkah yang melecehkan apabila mahu memuat naik banyak fail.
Satu lagi ciri baru yang menarik ialah pengguna boleh memuat naik dan menguruskan pelbagai jenis fail multimedia, contohnya gambar, video, audio, Flash, QuickTime, Real dan sebagainya. Kesemua fail multimedia ini disimpan di satu tempat yang dipanggil “Media Library”. Pengguna boleh mengimbas koleksi fail yang telah dimuat naik ini dan menyisipkan mana-mana media yang disukai ke dalam entri blog yang sedang ditulis.
Rajah 2

Bar alatan kini mempunyai butang baru “fullscreen” (kedua dari kanan).
Gravatar
Usaha sama antara Automattic (syarikat penaja WordPress) dan Gravatar tempoh hari melahirkan potensi baru untuk WordPress. Kini, para pengguna tidak perlu lagi memuat turun plugin tambahan untuk menggunakan khidmat Gravatar dalam blog WordPress mereka. Sebaliknya, ciri ini telah disertakan sebagai ciri dasar dalam pakej WordPress.
Pengguna WordPress secara automatik memiliki ruangan komentar pembaca yang dilengkapi dengan gambar masing-masing. Tambahan pula, para pengguna boleh menapis gambar-gambar ini mengikut kesesuaian pembaca. Contohnya, penulis blog yang disasarkan untuk pembaca bawah umur boleh menetapkan supaya WordPress menapis gambar-gambar yang tidak sopan.
Sistem peningkatan automatik
Versi 2.5 juga menyediakan sistem peningkatan (upgrade) pemalam secara automatik. Prosedurnya mudah sahaja, WordPress akan sentiasa menyemak setiap pemalam, dan sekiranya ia menjumpai versi baru, ia akan menawarkan kepada anda supaya ia meningkatkan pemalam tersebut kepada versi baru dengan sekali tekan butang sahaja. Dengan cara ini, anda tidak perlu bersusah-susah memuat turun pemalam yang sama setiap kali versi baru keluar.
Akan mendarat tidak lama lagi
Sebagai kesimpulan, keluaran percubaan ini menampilkan pelbagai ciri baru yang menjanjikan pengalaman yang lebih memuaskan. Penampilan yang baru tentunya bakal melahirkan ingatan-ingatan manis, manakala ciri-ciri baru yang ditonjolkan kali ini menunjukkan komitmen para pembangun WordPress terhadap revolusi dunia blog.
Para pengguna yang mahu mencuba versi percubaan ini bolehlah memuat turun pakejnya di http://wordpress.org/wordpress-2.5-RC1.zip. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, para pengguna dinasihatkan supaya membuat salinan sandaran bagi semua fail dan data yang sedia ada dan mencubanya di komputer sendiri sahaja.
Keluaran ini tidak boleh dianggap muktamad kerana ia hanyalah release candidate—percubaan. Banyak lagi kerja yang belum disiapkan, dan sudah pun terdapat aduan daripada pengguna tentang masalah-masalah yang timbul. Saya sendiri pernah mengalami beberapa masalah ketika mencubanya. Contohnya, dalam Linux, apabila saya menyalin tulisan ini dari OpenOffice ke WordPress, Firefox terus ‘mati’.
Apakah rupa sebenar WordPress 2.5 yang mendatang tidak lama lagi? Adakah rupa seindah khabar atau sebaliknya? Takdir menentukan segalanya.
Versi bahasa Melayu
Sebagai maklumat tambahan, kerja untuk menyiapkan WordPress versi baru ini dalam bahasa Melayu sudah pun bermula. Pengguna yang berhasrat untuk menggunakannya bolehlah menantikan kemunculannya di blog WordPress Malaysia.
Sebahagian daripada siri: Rencana, WordPress



