Berapa orang tokoh IT yang kau kenal? Bill Gates… lagi?
10 Ogos 2007

Segalanya bermula apabila aku cuba menceritakan mengenai produk terbaru iMac daripada Apple kepada seorang rakan. Dia mengagumi kecanggihan produk ini, kemudian dengan takbersalahnya menanyakan soalan, “ganasnya, siapa yang buat iMac ni?… Bill Gates?”
Aku separuh ketawa, separuh mencebikkan bibir.
Kau ingat Bill Gates sajakah ilmuan komputer? Sebut saja tentang IT, nama beliau sajalah yang muncul dalam kotak fikiran kau? Sungguh jahil, sungguh kasihan, dibutakan oleh kilauan emas palsu yang sungguh memualkan. Ramai lagi—aku yakin—beratus lagi insan di luar sana yang mempunyai kepakaran mengatasi kapitalis kuku besi itu, namun tak pernah memikili sedebu pun sifat tamak harta beliau. Takkah kau tahu, Bill Gates menjadi kaya hanya kerana monopoli dan sifar persaingan? Merompak hasil ciptaan orang lain dan tak pernah memberikan kredit? Menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menipu orang ramai? Takkah kau pernah fikir apa maksud yang tersirat di sebalik nama jelik Microsoft (”micro-soft”) setiap kali ia muncul selepas kau menekan punat pasang pada komputer kau? Hari ini, sang matahari nampak gah. Malam nanti, bila sang matahari rebah, kau akan lihat betapa bintang itu berjuta.
Mari, aku ceritakan gaya hidup tokoh-tokoh IT paling berpengaruh di dunia.
Bill Gates
Bill Gates. Kau tak perlu diperkenalkan sekali lagi tentang beliau dan syarikat mahagergasi Microsoft milik beliau. Manusia paling kaya dan paling berpengaruh di dunia. Memiliki sebuah rumah agam “earth-sheltered” yang termewah dan termaju di dunia. Bijak? Mungkin. Tapi barangkali lebih berminat dalam memaksimumkan keuntungan daripada memperbaiki teknologi. Seringkali mendakwa bahawa produknya diciplak oleh orang lain. Hakikatnya, beliau tak pernah mempunyai produk ciptaan sendiri. Idea Windows sebenarnya ditiru daripada Mac OS, sebagai contoh. Produk-produk ciplaknya sungguh memalukan, tapi menjadi popular kerana bijak berjanji dan berpromosi. Gaji: US$966 667 setahun (US$616 667 + bonus US$350 000).
Steve Jobs
Kalau kau masih belum kenal dengan Steve Jobs, beliaulah CEO Apple Computer. Pengarah dan perancang di sebalik produk teknologi inovatif Mac, iPod dan iPhone. Merupakan musuh ketat Bill Gates—kerana sebuah pergaduhan suatu ketika dahulu, mereka tidak pernah berjumpa selama dua dekad (sehinggalah pada sebuah seminar pada Mei 2007). Juga pernah menjadi CEO Pixar, yang menerbitkan beraneka filem animasi 3D yang mencapai box-office seperti Toy Story, A Bug’s Life, Monsters Inc., Finding Nemo, The Incredibles, dan Cars. Cita-cita beliau ialah merevolusikan budaya teknologi dalam kehidupan seharian kita. Percaya atau tidak, gaji beliau sebagai CEO hanyalah US$1 setahun.
Linus Torvalds
Aku yakin kau langsung tak kenal dengan Linus Torvalds. Beliaulah pencipta Linux. Aku juga yakin kau pun mesti tak kenal Linux. Hakikatnya, Linux adalah sistem pengoperasian paling berkuasa di dunia. Tak, bukan Windows. Tiada superkomputer yang mahu gunakan si hingusan Windows. Torvalds menulis kod Linux semata-mata kerana hobi dan tak pernah mengambil upah daripadanya. Pada hari ini, Linux diedarkan secara bebas dan diperbaiki secara terus-menerus oleh beribu penyumbang dari seluruh dunia. Torvalds adalah seorang yang amat senyap dan tidak menonjolkan diri. Menjalani kehidupan yang amat sederhana, mendiami sebuah rumah sempit bersama keluarga di Oregon. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa diiktiraf oleh kalangan penggodam sebagai BDFL (Diktator Baik Hati Sepanjang Hayat). Gaji: Tak tetap.
Tim Berners-Lee
Kalau kau sedang membaca tulisan ini, kau patut berterima kasih kepada Tim Berners-Lee, seorang saintis terkemuka yang berjaya merevolusikan perkongsian maklumat digital pada hari ini. Beliau adalah pencipta WWW—dunia web, teknologi yang paling pesat berkembang dalam sejarah manusia, teknologi yang berjaya menyatukan kaedah perhubungan berdasarkan Internet. Tahu tak bahawa “http” yang kau taip tiap-tiap hari di pelayar web tu sebenarnya dicipta oleh Berners-Lee? Anugerah beliau adalah terlalu banyak untuk diceritakan di sini, boleh muat satu lagi entri blog. Namun begitu, beliau tak pernah pun menjual ciptaan-ciptaannya kerana mahu mendapatkan harta, semuanya boleh digunakan secara bebas oleh sesiapa sahaja. Bagi beliau, setiap maklumat bebas dikongsi bersama di seluruh dunia.
Guido van Rossum
Guido van Rossum mungkin tak setanding dengan tokoh-tokoh yang aku ceritakan di atas, namun begitu aku senaraikan juga di sini kerana aku amat meminati beliau. Van Rossum ialah seorang berbangsa Belanda yang asalnya berkerja sebagai seorang penyelidik. Pada suatu ketika dahulu, pada tahun 1989, beliau mempunyai kehidupan yang amat menjemukan. Kerana terlalu bosan, beliau menghabiskan masa lapang dengan mencipta sebuah bahasa pengaturcaraan komputer menggunakan komputer peribadinya di rumah—sesuatu yang kau langsung tak kuasa nak buat. Projek persendirian ini menjadi hobi beliau. Bahasa pengaturcaraan yang beliau tulis dengan tidak semena-mena dinamakan Python, berdasarkan kepada rancangan komedi TV yang beliau minati. Projek ini kemudiannya diedarkan secara umum dan diperbaiki oleh penyumbang dari seluruh dunia. Pada hari ini, Python adalah bahasa pengaturcaraan yang amat matang. Ia digunakan oleh syarikat-syarikat besar seperti Google dan NASA. Dan, ya, van Rossum tak pernah mengambil keuntungan pun daripada Python. Beliau masih menjalankan kehidupan yang lebih kurang sama, cuma tidak membosankan seperti dulu.
Nah, bandingkan tokoh-tokoh di atas. Kau masih nak mengagung-agungkan Bill Gates?
Sebahagian daripada siri: Rencana
Komentar
10 komen
Bat berkata pada 10 Ogos 2007, 11:53 pm:
Entri yang bagus, digarapkan dengan hujan2 yang power dan emosi yang mencukupi. Aku suka! Aku dah fired windows dari machine aku, ubuntu dah menyerikan hidup aku sekarang, dan Beryl sungguh cantik dan bertenaga dari visual effect vista. Cuma aku sedih mengapa tiada Photoshop untuk Linux, walaupun ada wine untuk membantu..
Aku jarang mengikuti perkembangan evangelist teknologi seperti di atas, sebelum ni banyak melihat tokoh2 di sebalik pembangunan web seperti Tantek Celik, Eric Meyer dan Andy Clarke..
Aviator berkata pada 11 Ogos 2007, 4:23 am:
Alamak Bat, komen kau masuk dalam spamlist. Nasib baik aku selamatkan sebelum kena recycle.
Hasbullah Pit berkata pada 13 Ogos 2007, 4:37 am:
Aku lagi suka Alan Cox drpd Linus
kaSyah berkata pada 13 Ogos 2007, 4:38 pm:
guido van rossum saje yg aku xpenah dengar.
bob berkata pada 27 Ogos 2007, 4:47 am:
kernel dan alan cox.
od3n berkata pada 31 Ogos 2007, 7:04 am:
aku berminat sgt nk try gune mac~bile la agaknye dapat beli satu…
Aviator berkata pada 20 September 2007, 12:34 pm:
Linus Torvalds masih merupakan penyumbang terbesar kod kernel Linux. OK, tribute to everyone.
Heru berkata pada 26 Oktober 2007, 11:03 pm:
Great!!!!
me berkata pada 28 Februari 2008, 4:58 pm:
tulis lagi…. ak suka la idea ko dlm mengarang….
hanz85 berkata pada 17 April 2008, 3:05 am:
penerangan hebat ah Ji. xtau menau plak aku pasal nih. heh..aku nampak MAC OS lebih cun dari smuanya. dlu minat vista. tp bila aku pakai pack flyakite, mac lebih anggun ler. simple and elegant!