Gerhana bulan pada malam Nisf Sya’ban

17 Ogos 2008

Lunar eclipse on the night of Nisf Sha'ban

Malam ini seperti malam-malam lain juga. Panas… sesak… riuh… malam yang tipikal di kota Kaherah. Namun, ketika aku berjalan di luar, kelihatan beberapa buah premis merentang kain bercorak berwarna-warni di luar dan mengadakan promosi jualan, kedengaran dari masjid suara zikiran.

Aku dongak ke langit. Melihat wajah rembulan purnama… menyilau seorang diri tanpa dihiasi kelipan bebintang (maklumlah, debu Kaherah). Patut lah, malam ini malam Nisf Sya’ban. Malam penuh rahmat. Malam yang mana setiap catatan amalan manusia diangkat ke langit. Satu daripada dua malam perayaan para malaikat (kalau anda tak tahu, perayaan malaikat yang satu lagi ialah Lailatul-Qadr).

Ya, tatkala dunia menyaksikan kemeriahan sukan di Republik Rakyat China, menyaksikan krisis perang di Rusia, Ossetia Selatan dan Georgia, menyaksikan Saiful Bukhari bersumpah laknat di Masjid Wilayah, sedar tak sedar, lima belas hari lagi Ramadan akan datang bertamu.

Ketika itu, rembulan purnama nampak sumbing sedikit, tapi aku tidak rasa curiga. Bila lewat malam di rumah, aku diberitahu oleh rakan serumah bahawa malam ini bulan sedang gerhana. Huh? Yakah? Aku mengintai dari jendela. Oh, patutlah tadi nampak sumbing sikit. Sekarang dah separuh ditelan bayang-bayang.

Pautan:

SKEK 41

21 Julai 2008

Kulit depan SKEK 41

Majalah yang dinanti-nantikan sudah tiba. Suara Kampus PMRAM Edisi Kelantan (SKEK) bilangan 41 akan menjengah pasaran tidak lama lagi.

SKEK diterbitkan oleh Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir dengan izin daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Majalah ini memuatkan pelbagai isu tempatan dan antarabangsa, serta karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh anak-anak Kelantan yang sedang belajar di Mesir.

Pemproses dan RAM

4 April 2008

Dari manakah prestasi sesebuah komputer dinilai? Pemproses atau RAM? Jikalau anda ingin meningkatkan keupayaan komputer anda, komponen yang mana satukah diutamakan, dan apakah rasionalnya? Rencana ini ditulis sebagai membantu anda mencari jawapan kepada permasalahan yang semacam rumit ini.

Pemproses atau lebih tepat lagi mikropemproses ialah pengawal segala proses pengiraan yang berlaku dalam komputer. Jikalau dibandingkan dengan tubuh badan manusia, pemproses bolehlah disamakan dengan otak, iaitu organ yang mengawal segala tingkah laku. Walau bagaimanapun, berbeza dengan otak manusia, pemproses tidak ‘berfikir’ (manusia tidak mampu mencipta ‘akal’), tetapi melakukan tugas atas arahan manusia yang dikenali sebagai “pengiraan”. Sungguh ringkas, bukan? Segala tugas yang dilakukan, menaip dokumen pejabat, mengurus foto digital, menyunting video, memuat turun fail daripada Internet, semuanya dilaksanakan oleh pemproses dalam erti kata abstrak sahaja. Hakikatnya, jika dilihat dari aras paling rendah, ia hanya melakukan pengiraan terhadap unsur-unsur data yang dikenali sebagai bit, iaitu 1 dan 0. Benar, komputer hanya memahami dua nilai ini sahaja. Lapan bit membentuk satu bait, 1024 (210) bait membentuk satu kilobait, dan 1024 kilobait membentuk 1 megabait. Sekadar memberi contoh, setiap piksel (petak terkecil) dalam skrin komputer diwakili oleh satu bait data yang mengandungi maklumat kuantiti warna merah, hijau dan biru. Komposisi yang berlainan menghasilkan warna yang berbeza-beza. Katakan anda sedang memain sebuah klip video bersaiz 640 × 480 piksel yang mempunyai tempoh sepuluh minit pada kadar 25 bingkai gambar sesaat. Satu bingkai sama dengan 307200 bait (640 px × 480 px), 10 minit sama dengan 15000 (60 saat × 10 minit × 25) bingkai; oleh itu, sejumlah 4,608 juta bait data dihitung oleh pemproses ketika anda memainkan video tersebut!

Baca tulisan penuh→

SKEK 40

24 Mac 2008

SKEK 40

Ini adalah previu bagi Suara Kampus PMRAM Edisi Kelantan (SKEK) bilangan 40.

Ribuan penghargaan diucapkan kepada ~crystalina~ kerana menyediakan foto untuk kulit ini.

SKEK diterbitkan oleh Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir dengan izin daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Majalah ini memuatkan pelbagai isu tempatan dan antarabangsa, serta karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh anak-anak Kelantan yang sedang belajar di Mesir.

Kali ini, kami cuba tampilkan beberapa isu yang hangat untuk tatapan sahabat-sahabat perantauan di Mesir. Pastikan anda semua mendapatkannya sebaik sahaja ia keluar di pasaran.

WordPress 2.5 melonjak ke hadapan

19 Mac 2008

wordpressicon-hanttula2.gifSemalam merupakan hari pengumuman keluaran WordPress versi 2.5 Release Candidate 1. Banyak perubahan yang memberansangkan dapat dilihat sejak keluaran “beta” sebelumnya. Keluaran ini merupakan percubaan sahaja, para pembangun sedang menguji kestabilan perisian ini sebelum disasarkan kepada pengguna umum. Tarikh keluaran sebenar masih kabur, akan tetapi dijangka beberapa hari sahaja lagi, atau paling lewat pun dalam bulan Mac ini juga.

Pengguna yang peka mungkin tertanya-tanya, bukankah versi sekarang ialah 2.3? Apakah yang telah berlaku kepada versi 2.4? Kisahnya, para pembangun WordPress bercadang untuk menyiapkan versi 2.4 pada 24 Januari 2008. Akan tetapi, kerja tersebut ‘terbengkalai’ kerana masing-masing sibuk menyambut Krismas dan Tahun Baru. Pembangunan versi 2.4 dibatalkan, sebaliknya digantikan dengan 2.5 yang dijadualkan pada 10 Mac 2008. Namun begitu, para pembangun tidak sempat menyiapkan semua tugas yang diamanahkan pada waktu yang ditetapkan. Tarikh keluaran 2.5 ditunda pula. Seminggu telah berlalu, namun 2.5 belum lagi menampakkan batang hidung, sehinggalah semalam apabila pasukan pembangun WordPress mengumumkan keluaran release candidate. Keluaran ini adalah previu semata-mata, supaya pengguna yang berminat boleh mengecapi sedikit daripada impian menjulang tinggi ini. Apa pun, ini semua adalah petanda bagi perubahan yang ketara dan pengalaman yang lebih menyeronokkan.

Kepada pembaca budiman yang masih belum mengenalinya, WordPress ialah sebuah sistem pengurusan blog yang popular. Sekiranya anda memiliki tapak web sendiri dan berhasrat untuk menulis blog, saya cadangkan supaya anda menggunakan WordPress. Perisian ini boleh didapati dengan percuma dan dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik. Terdapat beribu-ribu komponen tambahan yang disediakan secara berasingan yang boleh mengubah suai reka bentuk (dikenali sebagai tema atau theme) dan menyediakan kebolehan tambahan (dikenali sebagai pemalam atau plugin). Tambahan pula, sekiranya anda menghadapi masalah dan memerlukan pertolongan, terdapat komuniti pengguna yang aktif yang sedia menghulurkan bantuan.

Jadi, apakah ciri-ciri baru pada keluaran kali ini?

Baca tulisan penuh→

Krisis anak bulan

28 Januari 2008

Anak bulanSetiap tahun pasti timbul isu mengenai masyarakat-masyarakat Islam di seluruh dunia tidak bersepakat dalam penetapan tarikh bagi hari-hari perayaan. Kontroversi-kontroversi ini lazimnya timbul ketika penentuan tarikh bagi bulan-bulan yang mulia—iaitu Ramadan di mana seluruh umat Islam berpuasa, kemudian Syawal di mana seluruh Islam menyambut lebaran Aidilfitri, kemudian pula Zulhijah apabila penganut agama Islam dari seluruh dunia melaksanakan ibadat mulia haji di Mekah dan pada awal Muharam, bulan pertama dalam tahun Hijrah baru—kerana melibatkan ibadah kira-kira 1.3 bilion1 penganut Islam di seluruh dunia.

Mengikut warisan sunah yang diamalkan sejak zaman nubuwah, awal bulan ditentukan dengan cara melihat anak bulan. Anak bulan juga dikenali dalam istilah falak sebagai hilal. Sebahagian kecil permukaan bulan yang bercaya akan dapat dilihat bentuknya seperti lengkuk cahaya yang sangat halus. Perbuatan melihat anak bulan ini dikenali sebagai rukyah dan dianggap ibadah yang sungguh mulia. Rukyah dianggap penting kerana bersangkut paut dengan penentuan awal bulan dalam kalendar Hijrah, lagi-lagi dalam penentuan hari-hari ibadah, iaitu puasa dan haji serta hari-hari lebaran dalam Islam, berpandukan firman suci Allah s.w.t. dalam al-Quran:

يسألونك عن الأهلة قل هي مواقيت للناس والحج وليس البر بأن تأتوا البيوت من ظهورها ولكن البر من اتقي وأتوا البيوت من أبوابها واتقوا الله لعلكم تفلحون

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji.”2

Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengajar cara-cara penentuan awal bulan menjelang Ramadan:

‏لا تصوموا حتى تروا الهلال ولا تفطروا حتى تروه فإن غم عليكم فاقدروا له

Maksudnya: “Janganlah kamu berpuasa (Ramadan) kecuali kerana melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (Syawal) kecuali kerana melihatnya. Maka sekiranya berlaku kekaburan (cuaca mendung), maka tentukanlah ia menggunakan hitungan.”3

Amalan rukyah diteruskan sehingga zaman berzaman. Namun begitu, keadaan berubah apabila sayap Islam meluas, kerana ketika itu ilmu berkembang dengan amat pesat. Pelbagai sumber ilmu dibawa masuk ke dalam dunia Islam, menyebabkan berkembangnya ilmu-ilmu baru yang berharga, umpamanya perubatan, fizik, kimia, matematik, tidak ketinggalan astronomi.

Astronomi dikenali dalam dunia Islam sebagai ilmu falak. Pada waktu itu, cendekiawan-cendekiawan Islam yang menyedari bahawa pergerakan objek-objek samawi di langit seperti matahari dan planet adalah berdasarkan perhitungan dan perkadaran yang tetap. Oleh itu, dengan memanfaatkan matematik, seseorang boleh menghitung kedudukan objek-objek samawi pada sebarang waktu yang diberikan. Ini bermakna bahawa waktu-waktu solat yang tertaktuk kepada kedudukan matahari dan fasa-fasa bulan seperti badr dan ijtimak boleh ditentukan dengan melakukan pengiraan menggunakan tangan tanpa melihat di langit. Penemuan ini menyumbang kepada percambahan kaedah baru dalam penentuan awal bulan yang umumnya dikenali sebagai hisab.

Baca tulisan penuh→

SKEK 39

29 Disember 2007

SKEK 39

Alhamdulillah, kerja saya akhirnya sudah siap. Imej yang anda lihat di atas ini ialah kulit depan bagi majalah SKEK keluaran 39 (Disember 2007).

Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Syamsul Bahri kerana mengizinkan penggunaan foto Tuan Guru Nik Aziz yang diambil oleh beliau. Foto tersebut amat secocok dengan isu fokus keluaran ini.

SKEK ialah singkatan bagi Suara Kampus PMRAM Edisi Kelantan. Majalah ini diterbitkan oleh Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir dengan izin daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. SKEK memuatkan pelbagai isu tempatan dan antarabangsa, serta karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh anak-anak Kelantan yang sedang belajar di Mesir.

Keluaran ini akan siap dicetak tidak lama lagi. Pastikan sahabat-sahabat perantauan di Mesir mendapatkannya sebaik sahaja ia keluar di pasaran.

Ubuntu Muslim Edition

30 September 2007

Minta maaf ya kerana sudah sekian lama tidak mengemaskinikan blog ini. Sejak kebelakangan ini, saya sibuk dengan perkara-perkara lain. Pada entri kali ini, saya sempat mengambil peluang untuk meninjau Ubuntu Muslim Edition.

Secara ringkas, Ubuntu Muslim Edition, atau pendeknya UbuntuME, ialah sebuah edaran Linux yang dibina berdasarkan Ubuntu dan disesuaikan sebagai sebuah sistem pengendalian bercirikan Muslim. Ia mula dikeluarkan secara rasmi bersempena kedatangan bulan Ramadan yang diberkati ini. Berikut adalah beberapa cekupan skrin:

Ubuntu Muslim Edition (GRUB)

GNU Boot Loader (GRUB) yang muncul sebaik sahaja komputer dihidupkan—menggunakan latar belakang Masjid Nabawi di Madinah

Ubuntu Muslim Edition (GDM)

Paparan log masuk GDM

Ubuntu Muslim Edition

Persekitaran Ubuntu ME

Baca tulisan penuh→

Manjalara: ketagih dan jemu

12 September 2007

Lara

“Kau tak kenal aku? Dulu akulah Manja, si budak gemuk gedempol yang selalu menjadi bahan ejekan kawan-kawan aku. Tapi, setelah berusaha dengan gigih, aku berjaya mengubah rupa dan personaliti (lebih pantas daripada robot-robot dalam Transformers). Nama aku sekarang Lara, tapi kalau kau nak panggil Femme Fatale pun aku tak kisah. Wahaha.”

Sebut saja “Manjalara”, pasti semua orang tahu, siri drama TV3 yang cukup hebat. Siapa tak terpukau dengan lakonan mantap pelakon-pelakon popular seperti Sheila Rusly, Mustapha Kamal, Jehan Miskin, Abby Abadi. Drama ini menampilkan bakat segar Emelda Rosmila yang memegang watak Manja, si budak gemuk bersifat kebudak-budakan yang disayangi oleh semua orang, tak kurang juga didengki dan dibenci.

Baca tulisan penuh→

Setengah abad

31 Ogos 2007

Berhenti dahulu dan tarik nafas dalam-dalam. Kemudian sambung berlari.

¿ʞılɐqɹǝʇ ɐɹɐɔǝs sılnuǝɯ ɐpuɐ ɥɐʞɥǝloq

29 Ogos 2007

Flip (http://www.revfad.com/flip.html) ialah sebuah alat yang boleh menerbalikkan tulisan anda. Masukkan teks yang diingini, kemudian tulisan baru yang telah diterbalikkan akan dihasilkan secara automatik.

Ya, anda boleh gunakan tulisan terbalik sebagai taktik murahan untuk menarik pembaca ke blog anda (dari Blogtitude contohnya :P). Tapi jangan pula terlebih guna sampai pembaca marah-marah.

Kemas kini: Blogtitude menunjukkan tajuk entri ini sebagai ¿ʞılɐqɹǝʇ ɐɹ&….

Sahabatku seorang selebriti Friendster

27 Ogos 2007

Shanlah Bekdono

Sahabatku, Shanlah Bekdono, seorang perempuan tunggal berumur 18 tahun, sudah ketagih Friendster. Tidak pernah berhenti menghadap komputer selain daripada mahu memuaskan keperluan peribadi (makan, sembahyang). Kalau tinggal lima minit pun sudah menunjukkan tanda-tanda withdrawal symptoms. Nasib baik ada juga N70 yang dilengkapi dengan sambungan GPRS. Dapatlah balas komen kalau kafe Internet sudah penuh. Kalau tak, terpaksalah beliau menjalani terapi pemulihan.

Kawan beliau taklah ramai sangat, ada lah sekitar 150, tapi komennya wahhhhhhh, nak sampai seribu! Populariti Shanlah sudah tersebar luas, sehinggakan ke Filipina. Gambar-gambar beliau sudah dihujani komen-komen dalam bahasa asing yang beliau sendiri tak faham apa maksudnya.

Kali terakhir saya berjumpa dengan Shanlah, beliau sedang menjalani terapi pelurusan rambut. Bila ditanya, beliau menjawab, “aku sudah mahu menjadi selebriti.” Haha, aku doakan supaya kau berjaya, Shanlah!

Kepada Shanlah, selamat menaiki tangga kemasyhuran!

Nota: Kepada pengunjung yang tidak boleh melihat profil penuh Shanlah (terpaksa dikunci kerana dibanjiri komen), saya sudah membuat page capture di sini dan di sini. Tapi jangan beritahu Shanlah pula ya!

Dwibahasa

12 Ogos 2007

Saya telah membuka sebuah cawangan blog baru dalam bahasa Inggeris. Doakan semoga saya berjaya!

Berapa orang tokoh IT yang kau kenal? Bill Gates… lagi?

10 Ogos 2007

Bill Gates

Segalanya bermula apabila aku cuba menceritakan mengenai produk terbaru iMac daripada Apple kepada seorang rakan. Dia mengagumi kecanggihan produk ini, kemudian dengan takbersalahnya menanyakan soalan, “ganasnya, siapa yang buat iMac ni?… Bill Gates?”

Aku separuh ketawa, separuh mencebikkan bibir.

Kau ingat Bill Gates sajakah ilmuan komputer? Sebut saja tentang IT, nama beliau sajalah yang muncul dalam kotak fikiran kau? Sungguh jahil, sungguh kasihan, dibutakan oleh kilauan emas palsu yang sungguh memualkan. Ramai lagi—aku yakin—beratus lagi insan di luar sana yang mempunyai kepakaran mengatasi kapitalis kuku besi itu, namun tak pernah memikili sedebu pun sifat tamak harta beliau. Takkah kau tahu, Bill Gates menjadi kaya hanya kerana monopoli dan sifar persaingan? Merompak hasil ciptaan orang lain dan tak pernah memberikan kredit? Menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menipu orang ramai? Takkah kau pernah fikir apa maksud yang tersirat di sebalik nama jelik Microsoft (”micro-soft”) setiap kali ia muncul selepas kau menekan punat pasang pada komputer kau? Hari ini, sang matahari nampak gah. Malam nanti, bila sang matahari rebah, kau akan lihat betapa bintang itu berjuta.

Mari, aku ceritakan gaya hidup tokoh-tokoh IT paling berpengaruh di dunia.

Baca tulisan penuh→

WordPress 2.2.2

5 Ogos 2007

Keluaran sekuriti terbaru bagi WordPress 2.2 telah dikeluarkan.

Saya telah meningkatkan perisian WordPress saya dalam tempoh tak sampai 10 saat pun. Lihat apa yang saya lakukan melalui SSH:

# svn export http://svn.automattic.com/wordpress/tags/2.2.2 ~/wordpress/2.2.2
# cp ~/wordpress/2.2.2/* ~/public_html/wordpress
# cp -R ~/wordpress/2.2.2/wp-admin/* ~/public_html/wordpress/wp-admin
# cp -R ~/wordpress/2.2.2/wp-includes/* ~/public_html/wordpress/wp-includes

←Kiriman-kiriman sebelumnya